KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 secara berperingkat mulai esok kepada sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2.3 bilion tahun ini, berbanding RM2.1 bilion tahun lalu.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bantuan itu bakal dimanfaatkan 60 peratus penduduk dewasa dengan pendapatan isi rumah sekitar RM4,600 tahun ini, iaitu kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara ini mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik, meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.
“Kendatipun (walaupun) peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI supaya peningkatan sumbangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya.
Pembayaran STR akan dibuat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Pada minggu lalu, kerajaan menyalurkan SARA kepada 700,000 penerima kategori miskin dan miskin tegar.
Menerusi SARA, bantuan sebanyak RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac, manakala mulai April ini, kadar bantuan akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Untuk STR, permohonan baharu dan kemas kini bagi STR dibuka sepanjang tahun.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di portal rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.-BH Online