SEREMBAN: Sebanyak 210,000 daripada 270,000 tiket yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan datang, sudah terjual setakat ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebagai inisiatif tambahan, pihak KTMB menambah dua trip sehari bagi perkhidmatan kereta api lokomotif untuk destinasi Kuala Lumpur-Butterworth, Pulau Pinang, sempena cuti perayaan itu.
“Lebihan tiket itu kerana tidak ramai membeli tiket pergi balik. Namun, kebanyakan tiket pulang ke kampung sudah penuh, misalnya Kuala Lumpur ke Ipoh (Perak) dan KL-Butterworth,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Tren ETS Class 93, Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kepada Kementerian Pengangkutan di Depoh EMU KTMB, di sini, hari ini.
Mengenai program hari ini pula, Loke berkata, kementerian menerima sebuah tren Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) yang telah siap diselenggara melalui projek MRO.
Ia sekali gus menjadi satu daripada tren tambahan yang bakal beroperasi sempena Tahun Baharu Cina dan seterusnya.
“Kita ada kontrak dengan Syarikat Railtech. Mereka diberi kontrak menyelenggara MRO tahap empat untuk dua jenis tren, iaitu 35 set KTM komuter dan 10 set tren ETS Class 93.
“Setakat ini termasuk set hari ini, keseluruhannya kita ada enam set telah diselenggara dengan baik dan dikembalikan untuk dioperasikan semula oleh KTMB,” katanya.-BH Online