Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: ASEAN belum berhasrat menggantung keahlian Myanmar walaupun negara itu sehingga kini masih gagal melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (Five-Point Concensus) yang dimuktamad pada 2021.

Menteri Luar, Datuk Seri Muhamad Hasan, berkata negara konflik itu perlu memenuhi lima syarat yang ditetapkan bagi memastikan kestabilan dan keamanan serantau dicapai.

Jelasnya, syarat utama dalam perjanjian itu Myanmar perlu menghentikan kekejaman dan penindasan ke atas rakyatnya sendiri dalam kadar segera.null

“Kami tidak berniat mengeluarkan Myanmar (daripada ASEAN), malah kami berharap dialog damai di Myanmar dapat dilakukan bagi mencapai kestabilan, kita sedang berusaha sedaya upaya dialog diadakan.

“Selaku negara jiran Myanmar, kita berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan kestabilan dan pemerintahan demokrasi dapat dikembalikan di negara itu.

“Disebabkan itu, Konsensus Lima Perkara perlu dijadikan platform asas rundingan yang Myanmar perlu patuhi dan ia sangat mudah. Hentikan kekejaman dan benarkan bantuan kemanusian masuk sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.null

Mohamad turut menegaskan, Myanmar selaku ahli anggota ASEAN perlu mematuhi perjanjian Konsensus Lima Perkara berkenaan selepas kesepakatan mengenainya dicapai.

Katanya, konflik yang melanda Myanmar kini bukan sahaja menjadi isu peringkat ASEAN, malah mendapat perhatian peringkat antarabangsa yang mahu keamanan dikembalikan.

“Bukan sukar kepada Myanmar mematuhi sepenuhnya syarat ditetapkan itu kerana mereka sudah menuruti hampir semuanya termasuk membenarkan bantuan kemanusian masuk, cuma masalah kekejaman dan penindasan belum selesai.

“Malah negara itu berjanji mahu mengadakan pilihan raya demokrasi, namun kita tegaskan itu adalah hak mereka, yang kita mahu adalah hentikan kekejaman terlebih dahulu.

“Disebabkan itu, kita memutuskan menghantar bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim sebagai Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar bagi melihat kembali perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad menjelaskan, terdapat kepentingan hubungan dagangan dan perniagaan antara negara ASEAN dipertingkat bagi membolehkan ekonomi serantau diperkukuh dengan rakyatnya mendapat pelbagai manfaat.

“Kita mahu perdagangan antara negara ASEAN diperkukuh kerana kita mahu menjadi komuniti bersama, jadi kita perlu menyambung titik perbezaan dan sempadan yang memisahkan antara negara.

“Contohnya, dalam sektor pelancongan kita ada konsep ‘Enam Negara, Satu Destinasi’. Ada keperluan kita mewujudkan perjalanan tanpa halangan untuk pelancong apabila mereka melawat ke ASEAN.

“Itu perkara yang sedang kami teliti dengan serius. Kami mahu menghapuskan segala halangan, apa sahaja rintangan supaya kami boleh mencapai pemahaman lebih baik dalam kalangan ahli ASEAN,” katanya.-BH Online