JOHOR BAHRU: Malaysia menyeru kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk memajukan sektor pelancongan serantau yang dapat memberi manfaat kepada semua anggota.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Pameran Pelancongan TRAVEX di bawah acara mega Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF) menyediakan platform untuk memperkukuhkan pemahaman dan kerjasama antara negara-negara Asean.
“Acara seperti ini memberikan peluang yang tidak ternilai untuk membina jambatan dan mengukuhkan hubungan merentasi sempadan, selaras dengan usaha kolektif kita ke arah masa depan pelancongan yang lebih cerah.
“Ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap industri pelancongan ASEAN dan potensi besar untuk menjalin kerjasama, mewujudkan peluang serta memupuk visi bersama untuk masa depan pelancongan di rantau ini.
“Di luar aspek perniagaan, marilah kita semua berkomitmen untuk menjadikan industri pelancongan ASEAN lebih bersatu, dinamik, dan berdaya tahan, sejajar dengan tema ATF tahun ini iaitu “Perpaduan dalam Gerakan: Membentuk Masa Depan Pelancongan ASEAN.”
“Walau apa pun keadaan dunia, kita sebagai Negara Anggota ASEAN mesti menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan sesama kita. Bukan sahaja mempromosikan destinasi unik masing-masing tetapi juga menggalakkan perjalanan dan pelaburan merentasi rantau ini,” katanya semasa berucap pada perasmian Pameran Pelancongan TRAVEX di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abd Rahman dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan.
King Sing turut memaklumkan tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah beberapa acara penting, termasuk sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 di Melaka, yang akan menjadi persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami berbangga menjadi tuan rumah kepada beberapa acara penting, termasuk sambutan Hari Pelancongan Dunia dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 di Melaka, sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya dengan ikhlas menjemput semua negara anggota ASEAN, pemain industri, dan rakan antarabangsa untuk datang ke Malaysia, menyokong inisiatif kami, dan mengalami kepelbagaian serta keramahan yang kami tawarkan,” katanya.
Pameran Pelancongan TRAVEX yang berlangsung selama tiga hari sehingga Jumaat mendapat sambutan memberangsangkan.
Dengan penyertaan lebih 221 penjual yang mempamerkan keunikan pelancongan negara ASEAN, 323 pembeli dari 42 negara serta 100 wakil media antarabangsa dari 35 negara.
Sementara itu, Manoharan memaklumkan pihaknya menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM20 juta daripada program pameran membabitkan beberapa subsektor pelancongan.
“Kita juga akan memberikan tumpuan kepada pakej pelancongan produk minat khas yang kebiasaannya memberikan pulangan lebih berbanding pakej pelancongan biasa.
“Ini antaranya termasuklah seni dan budaya, gastronomi serta sukan ekstrem seperti menyelam dan lain-lain,” katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia menganjurkan ATF 2025 bermula hari ini hingga 20 Januari bertujuan meningkatkan pelancong ke negara ASEAN dengan memupuk rangkaian, perkongsian pengetahuan, dan mempromosikan produk pelancongan serantau di samping memupuk kerjasama dengan pemain industri global.
Ia dijangka menarik peserta termasuk Menteri-Menteri Pelancongan, Ketua-Ketua Organisasi Pelancongan Nasional, pemimpin industri, wakil media, serta profesional pelancongan dari seluruh ASEAN.-BH Online