Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LANGAT: Kerajaan sedang meneliti untuk menaikkan harga lantai belian padi yang penetapannya sebelum ini diputuskan pada kadar RM1,300 bagi setiap tan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa pengilang yang membeli padi daripada pesawah sehingga RM1,800 bagi setiap tan. 

“Itu (harga lantai belian padi) sedang dikaji semua pihak. Memang sekarang minimum harga RM1,300 bagi setiap tan, tetapi di Kedah, padi dibeli hingga RM1,800 setiap tan.

“Masalahnya bila beli terlalu tinggi, bagaimana nak jual beras dengan harga murah. Sebab itu kerajaan melihat dari semasa ke semasa untuk meletakkan harga lantai,” katanya selepas melawat Projek Ladang Satelit Ehsan Tani di Kampung Sungai Kelambu, Banting, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.

Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penetapan itu yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, dilaporkan berkata penetapan harga itu tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat ketika ini.

Susulan itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum belian padi dan mengambil kira beberapa faktor terpaksa ditanggung petani seperti kenaikan kos pengeluaran padi mendadak, pendapatan dan kebajikan pesawah.-BH Online