Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Peralihan kenderaan kerajaan kepada jenis kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perkara itu kini dalam pertimbangan Kementerian Kewangan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Peralihan ini tidak dibuat sekali gus, ia akan dilaksanakan secara berperingkat, namun proses sudah pun bermula dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV dan Perasmian Stesen Pengecas Pantas EV di sini, hari ini.

Ditanya peralihan itu membabitkan semua peringkat atau jabatan tertentu, Nik Nazmi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan dan tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.

“Ia bergantung kepada keperluan sebab ada beberapa aspek yang perlu diambil kira kerana dalam garis panduan (peralihan kenderaan kerajaan) perlu dilihat apa keperluannya.

“Keperluan itu bergantung sama ada peralihan itu boleh dipenuhi EV tempatan atau EV lain dan sebagainya,” katanya.

Mengenai penggunaan EV sepenuhnya sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 tahun depan, beliau berkata Proton e.MAS 7 iaitu EV pertama negara keluaran Proton Holdings Bhd (PROTON) menjadi kenderaan rasmi seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biarpun menjadi kenderaan rasmi, beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan EV lain bagi memenuhi keperluan sepanjang persidangan ASEAN tahun depan.

“Sebenarnya ada EV lain juga yang akan diguna pakai cuma e.MAS 7 jadi kenderaan rasmilah tetapi ada kenderaan lain di pelbagai peringkat, ada peringkat ketua negara, ketua kerajaan, menteri, pegawai dan sebagainya. 

“Jadi persediaan sudah pun di peringkat akhir dan akan kita akan lihat apabila bermulanya persidangan, kenderaan (EV) ini akan digunakan,” katanya.

Berhubung Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan Kepada EV, Nik Nazmi berkata, ia adalah dokumen panduan teknikal kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan memperincikan strategi peralihan kenderaan rasmi secara teratur dan berkesan.

“Ia mengandungi beberapa komponen utama meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, penyelenggaraan dan penilaian

peralihan kepada EV. 

“Pelbagai strategi dan inisiatif juga sedang dilaksanakan oleh kerajaan yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030,” katanya.-BH Online