Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Pelaksanaan projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dijangka bakal memberi kesan ekonomi yang besar dalam memacu kemajuan Negeri Sembilan. 

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata MVV City adalah bandar pintar pertama yang berupaya menarik pelaburan bernilai tinggi, sekali gus mentransformasikan Negeri Sembilan sebagai hab ekonomi serantau.

“Projek ini selaras dengan dasar pembangunan jangka panjang seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Industri 4.0 (IR4.0), selain menjadi pemangkin utama sektor pembuatan berteknologi tinggi, logistik dan pelaburan hijau,” katanya. 

Beliau berkata, pembangunan strategik ini bukan hanya memfokuskan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan berkualiti serta peningkatan kualiti hidup.

Lokasi projek ini yang strategik, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), menjadikannya pusat kesalinghubungan ekonomi global.

“HSR berpotensi menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi dengan membuka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan serantau,” katanya. 

MVV City yang meliputi kawasan seluas 963 hektar bakal dibangunkan sebagai ekosistem bersepadu, merangkumi sektor perumahan, komersial, industri dan pusat inovasi pendidikan. 

Aminuddin berkata, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Matrix Concepts Holdings Bhd terbukti berkesan dalam menyokong pembangunan mampan dan merancakkan ekonomi negeri. 

“Melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), projek ini akan melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri dalam era IR4.0,” katanya.

Selain itu, projek ini menitikberatkan kelestarian dengan penyediaan perumahan mampu milik, ruang budaya dan infrastruktur hijau, memastikan pembangunan inklusif untuk semua lapisan masyarakat. 

Rekod kejayaan Matrix Concepts melalui pembangunan Bandar Sri Sendayan menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan MVV City yang dijangka menjadi pemangkin transformasi ekonomi Negeri Sembilan ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi.

“Projek ini akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan pilihan dan menjana ribuan peluang pekerjaan serta perniagaan, selaras dengan matlamat pembangunan negara,” katanya.-BH Online