KUALA LUMPUR: Usul membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, bukan bertujuan mahu mendakwa mana-mana pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sebaliknya, beliau berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan berkaitan kes itu.
Beliau berkata, usul itu mempamerkan kesediaan Kerajaan MADANI untuk mendedahkan laporan berkaitan kes berkenaan kepada umum, berbanding keputusan membabitkan kes sama yang dimuktamadkan Kabinet terdahulu.
“Saya berharap Yang Berhormat (YB) yang pernah menjadi menteri bawah (pentadbiran) YB Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dulu tidak lupa.
“Di halaman 3, 4 dan 5 (laporan RCI itu) menyatakan rujukan dari 8 Oktober 2021, Jemaah Menteri bersetuju supaya Pasukan Petugas Khas (PPK) ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan Batu Puteh.
“Kemudian 23 Mei 2008, keputusan dibuat oleh ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), diikuti dalam mesyuarat Kabinet pada 22 Disember 2021, YB juga (adalah antara beberapa) menteri yang bersetuju dengan pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali (bekas Peguam Negara) sebagai Pengerusi kepada PPK.
“Laporan PPK (mengenai) semakan undang-undang… mereka pun bersetuju (sama seperti dapatan dalam Laporan RCI itu) tetapi perbezaannya sampai hari ini, laporannya masih dirahsiakan.
“Tetapi Kerajaan MADANI mahukan laporan ini (laporan RCI) tidak dirahsiakan. Kerajaan MADANI nak rakyat tahu, terutama sekali rakyat Johor, nak cari ikan kena halau dengan agensi maritim Singapura,” katanya ketika menggulung perbahasan usul itu di Dewan Rakyat, malam ini.
Mengulas dakwaan bahawa usul itu adalah alat untuk mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad, Azalina berkata, proses berkenaan hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat laporan polis dibuat ke atas Perdana Menteri ketujuh itu.
“Isu berkenaan nak tuduh atau tak tuduh (Dr Mahathir), isu Peguam Negara, bukan isu kerajaan. Dalam Perlembagaan, semua kita (Ahli Parlimen) tahu Peguam Negara ialah individu bebas.
“Kalau ada laporan polis, mereka buat siasatan, kemudian Peguam Negara buat keputusan. Kalau setakat hari ini tiada laporan polis, takkanlah kita (berbahas) dalam Dewan boleh arah polis siasat, suruh Peguam Negara dakwa… mana boleh,” katanya.
Sementara itu, Azalina menjelaskan 47 daripada 217 halaman dalam laporan RCI berkenaan telah dihitamkan selepas mengambil kira beberapa faktor.
Beliau berkata, antaranya ialah aspek keselamatan negara, hubungan diplomatik yang sensitif dan perlindungan privasi individu.
Katanya, beberapa kandungan laporan itu akan menjejaskan aspek keselamatan negara, jika didedahkan.
Beliau turut memaklumkan, maklumat tertentu adalah bersifat sensitif, termasuk membabitkan pertahanan, risikan dan perkara strategik lain.
“Dari segi sensitiviti diplomatik pula, kawasan perairan Batu Puteh adalah laut wilayah yang masih menjadi pertikaian antara Malaysia dengan Singapura.
“Selain itu, laporan ini mengandungi maklumat sensitif berkaitan rundingan yang sedang berjalan serta butiran perbincangan antara kedua-dua negara yang boleh menjejaskan hubungan berterusan atau rundingan masa depan,” katanya.
Azalina pada akhir penggulungan turut membangkitkan Peraturan 12(1) bagi memohon untuk mengetepikan usul terdahulu yang menetapkan sidang Dewan Rakyat diteruskan hingga usul berkenaan selesai dibahaskan.-Bh Online