Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pelaksanaan Program Siswa Sulung 2.0 tidak terhad hanya kepada pelajar daripada keluarga dalam senarai kumpulan pendapatan B40 semata-mata.

Sebaliknya, Menterinya, Datuk Ser Dr Zambry Abdul Kadir, berkata program itu turut menyediakan manfaat kepada mahasiswa daripada keluarga M40 yang berdepan masalah kewangan termasuklah disebabkan faktor bilangan isi rumah yang besar.

Beliau berkata, setakat ini 1,934 pelajar dalam kategori berkenaan sudah menerima manfaat daripada bantuan disalurkan KPT melalui program terbabit.

“Bagi sesi kali ini, KPT sudah membantu lebih 300 mahasiswa, bukan semata-mata daripada B40, tetapi termasuk mereka yang mempunyai masalah dari segi kedudukan kewangan untuk masuk (mendaftar pengajian) dan berbelanja.

“Justeru, kita beri bantuan bernilai RM1,000 untuk perbelanjaan mereka, sekurang-kurangnya sebelum mendapat bantuan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sepenuhnya,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai syor memperluas pengecualian yuran kepada kategori M40 yang juga terkesan dengan lonjakan kos sara hidup.

Program Siswa Sulung 2.0 adalah pengecualian yuran pengajian diberikan kepada individu pertama dalam keluarga B40 atau kurang berkemampuan yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di Universiti Awam (UA).

Mengenai syor memperluas pelaksanaan kepada program sarjana dan doktor falsafah (PhD), Zambry berkata bantuan pengajian bagi peringkat berkenaan disalurkan menerusi program berasingan dikenali sebagai MyBrain 2.0.

“(Program Siswa Sulung 2.0 tidak diperluas ke program sarjana dan PhD) kerana kita beranggapan apabila mereka mencapai tahap ‘undergraduate’ untuk ke sarjana, mereka sudah pun mencapai keperluan asas masing-masing.

“Namun, ada juga kita memberikan ruang kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tetapi berminat untuk meneruskan pengajian (di peringkat sarjana dan PhD).

“Ini (bantuan kepada mahasiswa di peringkat sarjana dan PhD) kita letakkan di bawah program MyBrain bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian sepenuh masa,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, UA mulai Januari lalu sudah diarah mengehadkan yuran pendaftaran pelajar kepada sekitar RM1,500, selaras pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN.

Beliau berkata, UA juga tidak dibenarkan menghalang mana-mana pendaftaran pelajar dalam kalangan B40 serta yang tidak mampu membayar yuran kemasukan pengajian, selain KPT sedang memantau kes sedemikian.

“Semua pentadbir UA juga sudah diminta menerima pelajar kurang berkemampuan yang mendapat tawaran kemasukan tanpa menangguhkan urusan pendaftaran dan menangguhkan bayaran yuran pendaftaran bagi Sesi Akademik 2024/2025.

“Ini bagi memastikan tiada pelajar tercicir ekoran masalah kewangan,” katanya menjawab soalan asal Kesavan mengenai pendirian KPT berhubung yuran pendaftaran kemasukan di UA yang membebankan, terutama bagi golongan B40.-BH Online