Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menuntut hakim syarie di negara ini supaya berani membuat keputusan berlandaskan prinsip keadilan menurut Islam walaupun ada pihak cuba mempertikaikannya. 

Mohd Na’im berkata, keberanian membuat keputusan dengan adil adalah perkara yang sepatutnya dilakukan oleh hakim syarie, bukan saja di Selangor tetapi di seluruh negara.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie berkata, hakim bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan tanpa gentar.

“Saya menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah). Alhamdulillah, saya pun sudah lama dalam kehakiman syariah.

“Memang saya kerap mengarahkan supaya hakim syarie dapat membuat keputusan berani tanpa sebarang pengaruh. Sebab itu, saya sangat sokong dan menjunjung titah baginda. 

“Insya-Allah, saya akan gunakan kapasiti sebagai menteri untuk mengingatkan semua hakim syarie melaksanakan tanggungjawab membuat keputusan dan penghakiman dengan seadilnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini. 

Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM27.6 juta daripada 21 syarikat korporat sempena majlis berkenaan. 

Penyerahan zakat perniagaan itu dilakukan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut mengingatkan semua hakim syarie supaya membuat keputusan segera bagi memastikan sesuatu kes tidak berpanjangan. 

“Selain membuat keputusan yang adil, kena segera sebab orang datang ke mahkamah syariah untuk mendapatkan keputusan. 

“Maksud Tuanku (dalam titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah), berani dan dalam masa yang sama kena cepat sebab baginda sangat ambil berat mengenai kes yang lambat diselesaikan di mahkamah syariah.

“Masa saya Ketua Hakim Selangor, baginda kerap mengingatkan hakim syarie di Selangor, selain membuat keputusan adil, kena segera dalam penghakiman. Jangan sampai menunggu bertahun-tahun untuk menyelesaikan sesuatu kes,” katanya. 

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah, semua hakim syarie perlu menjalankan kuasa kehakiman selaras dengan seruan Allah SWT kepada hakim yang dilantik supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan. 

Titah baginda, walaupun ada pihak cuba mempertikai bidang kuasa dan keputusan mahkamah syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran mahkamah sivil sejak kebelakangan ini, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk hakim syarie berasa ‘takut’ atau ‘bimbang’ untuk memberikan penghakiman yang adil. 

Baginda bertitah pada Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, dan Pendaftar Kanan serta Pendaftar Wali Raja di Istana Bukit Kayangan, di sini semalam. 

Dalam titah ucapan itu, baginda turut meminta setiap pendaftar nikah, cerai, dan ruju’ orang Islam yang dilantik supaya menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam.-MyMetro Online