Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia perlu menggunakan semua platform serantau dan antarabangsa untuk menangani kebimbangan bersama secara terus dengan pihak berkepentingan.

Perdana Menteri berkata, janji untuk melakukan reformasi akan terus menjadi omong kosong sekiranya tidak dijadikan tindakan.

“Ketika dunia menjadi semakin tidak menentu, Malaysia mesti menggunakan setiap platform serantau dan antarabangsa yang tersedia untuk menangani kebimbangan bersama secara langsung dengan rakan utama.

“Apabila negara-negara mencetuskan keganasan serta penderitaan tanpa menerima sebarang hukuman sehingga jutaan manusia terperangkap dalam kemiskinan dan bencana iklim memusnahkan komuniti yang terdedah, maka ini adalah kegagalan dasar serta moral yang memerlukan tindak balas segera daripada kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Common Action Forum 2024, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Anwar menekankan, masa untuk melangkah dengan separuh hati dan melakukan perubahan secara beransur-ansur, sudah berlalu.

“Pilihan di hadapan kita adalah jelas, sama ada teruskan dengan sistem yang meminggirkan sebahagian besar penduduk dunia, atau membina aturan baharu berasaskan perkongsian sejati, kemakmuran bersama dan pembangunan lestari.

“Kita mesti bertindak dengan berani untuk mencipta masa depan yang sangat diperlukan oleh dunia,” katanya.-BH Online