Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lembaga Getah Malaysia menjelaskan bahawa ia bukan agensi yang mengawal harga getah. Harga getah ditentukan oleh permintaan dan penawaran getah dunia.

“Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak mengawal atau menetapkan harga getah kerana tiada sebarang peruntukan bidang kuasa di dalam Akta LGM,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

“Seperti komoditi lain, getah asli berorientasikan eksport dan harganya bergantung kepada persetujuan antara pembeli dengan penjual dan ia di luar kawalan Kerajaan. Prestasi harga getah ditentukan oleh penawaran dan permintaan getah dunia.”

Dua hari lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa harga pasaran getah sekerap ditentukan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

“Kerajaan negeri tidak boleh menaikkan harga kerana sekerap bukan di bawah negeri. Ada Risda dan LGM.

“Jika anda mahu ia menjadi FOB (free on board), itu harus diputuskan oleh LGM,” kata Sanusi kepada pemberita.

LGM turut menjelaskan bahawa ia telah mengusahakan beberapa langkah supaya pekebun kecil mendapat harga yang baik.

Antara usaha tersebut adalah Insentif Pengeluaran Getah (IPG), jualan getah secara tender dalam talian (MyROL) dan Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET).

“Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 telah bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG bagi getah sekerap (cuplump) sebanyak 20 sen sekilogram daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan kelulusan peruntukan berjumlah RM350
juta.”

Menurut LGM, 217,090 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai pembayaran berjumlah RM471 juta sejak IPG dilaksanakan dalam bulan September 2015 hingga Julai tahun ini.

“Bagi tempoh yang sama, IPG telah diagihkan kepada seramai 32,998
pekebun kecil getah di negeri Kedah dengan nilai pembayaran
berjumlah RM57.7 juta.

“Bagi daerah Sik sahaja telah menerima pembayaran IPG berjumlah RM7.9 juta dengan seramai 5,203 pekebun kecil yang mempunyai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) telah menerima manfaat.

LGM juga telah melaksanakan Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) melalui konsep koperasi pekebun kecil dan pengusaha ladang getah tempatan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan secara kluster pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan melalui penglibatan kluster pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak).

RISDA pula telah melaksanakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dengan peruntukan RM800 kepada pekebun kecil yang terjejas.