Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memberikan perkhidmatan terbaik dalam aspek bekalan air dan elektrik bagi memastikan keselesaan rakyat dan penduduk di negara ini.
Jelas menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, PETRA bertekad untuk meneruskan aspirasi kerajaan dan memperkukuhkan sistem penyampaian kepada rakyat.
“Pencapaian itu dari segi projek dan program, insya-Allah beterusan. Tapi, paling penting untuk melibatkan semua stakeholders (pemegang taruh) diperingkat negeri dan individu, masyarakat dan sebagainya.
“… Untuk kita bawa bersama penglibatan, sebab hendak menjaga kelestarian alam sekitar, kita hendak memastikan keterjaminan bekalan elektrik dan air. Ini semua kita mainkan peranan”, katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Sebelum ini, PETRA mengumumkan penambahan kuota sebanyak 50 megawatt (MW) untuk program permeteran tenaga bersih (NEM) bagi kategori NEM Rakyat.
Dalam mentransfomasi sektor air mampan pula, pelbagai program dilaksanakan antaranya Program Tebatan Banjir, Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Program Sungai Denai Kebangsaan dan Program Pemuliharaan dan Pembersihan Sungai.-Berita RTM