Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebarang pertikaian boleh diselesaikan melalui rundingan yang berteraskan semangat federalisme.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semua pihak harus merenung kembali sejarah pembentukan Malaysia 61 tahun lalu, yang melahirkan Perlembagaan Persekutuan hasil perjanjian antara pemimpin terdahulu.

“Asas paling utama adalah memahami apa yang termaktub dalam perlembagaan. Ia menjadi panduan memperkukuh keharmonian dan kesejahteraan negara dari segi perundangan, hubungan manusiawi, perniagaan, dan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perjumpaan awam sempena sambutan Dua Tahun Kerajaan MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Fadillah turut menekankan bahawa perbincangan dan rundingan merupakan elemen penting dalam Kerajaan Perpaduan yang kini dibentuk, merangkumi pelbagai parti politik.

“Kerajaan Perpaduan adalah kekuatan kita, di mana segala ketidaksefahaman dirunding untuk mencari titik persamaan. Setakat ini, kerjasama erat dapat dilihat dalam kalangan ahli parlimen kerajaan ini,” tambahnya.-Berita RTM