Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan sentiasa mendengar suara rakyat dan memastikan setiap dasar yang dilaksana adalah berpaksikan keperluan serta kebaikan rakyat, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan MADANI, namun mengaku ada ruang bagi penambahbaikan dengan kementerian pimpinannya akan terus komited memperbaiki dan belajar.

“Dua tahun mungkin terasa singkat tetapi ia tempoh yang penuh dengan cabaran, pembelajaran dan kejayaan. Kerajaan MADANI dibina atas asas perpaduan, keadilan, ketelusan dan kepedulian kepada rakyat.

“Dalam tempoh ini, kita telah sama-sama berusaha memastikan agenda ini dilaksanakan dengan penuh rahmah dan amanah. Perjalanan kita masih jauh. Kerajaan MADANI bukan sekadar slogan tetapi sebuah perjuangan untuk mencipta Malaysia yang lebih baik untuk generasi sekarang dan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH sekali gus meminta semua pihak bersama-sama menjayakan agenda Malaysia MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara makmur, berdaya saing dan dihormati di mata dunia.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terbabit dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seperti petani, nelayan, penternak, pengusaha industri makanan serta penjawat awam, atas sokongan, kritikan dan cadangan diberi yang membolehkan mereka menghadapi pelbagai cabaran sepanjang dua tahun ini.

“Dalam tempoh dua tahun ini, pelbagai tekanan seperti situasi ekonomi global, ancaman perubahan iklim dan impak pandemik COVID-19 masih dirasai dalam beberapa sektor pertanian, namun KPKM terus mengorak langkah memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Mengimbas usaha KPKM dalam tempoh dua tahun ini, Mohamad berkata, 11 tindakan yang telah diambil merangkumi usaha penanaman bawang besar-besaran bagi mengurangkan import bawang hingga 30 peratus pada 2030, dan meningkatkan pengeluaran nanas lebih 100 peratus daripada 800 kontena pada Januari kepada 1,727 kontena pada Oktober tahun ini.

Selain itu, eksport durian segar ke China yang dijangka menambah nilai eksport negara hingga RM1.8 bilion pada 2030, di samping menstruktur semula subsidi ayam yang dapat menjimatkan wang rakyat hampir RM100 juta sebulan dan bekalan serta harga ayam terus stabil hingga hari ini.

KPKM juga memperbanyak dan memperluas program Jualan Agro MADANI supaya rakyat mendapat akses bekalan makanan dengan penjimatan hingga 30 peratus daripada harga pasaran, serta meneruskan pemberian elaun sara hidup dan subsidi diesel kepada nelayan serta bantuan tunai bulanan melalui Skim Budi MADANI Agro Komoditi kepada petani.

Mohamad juga merujuk usaha meningkatkan jumlah bantuan Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan serta menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 per metrik tan kepada RM1,300 per metrik tan.

KPKM juga memberikan subsidi beras import kepada penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan yang bernilai RM23 juta sebulan supaya dapat membantu penduduk di wilayah ini menyerap kesan kenaikan harga beras dunia, selain memulakan reformasi padi dan beras secara besar-besaran. – BERNAMA