Sekali lagi Presiden Gerakan dimalukan oleh Pas apabila beliau dihalau dari menyertai majlis Ceramah Mega PN Best di Pulau Pinang.
Menurut Harian Metro, calon PN Bayan Lepas itu diminta meninggalkan majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Sungai Dua malam tadi.
Menurut media itu, Ceramah Mega PN Best malam tadi, dianjurkan tanpa membabitkan kehadiran kepemimpinan mahupun calon dari Gerakan.
Ceramah yang menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN Dun Penanti, Zulkifli Bakar.
“Difahamkan, Timbalan Presiden PN merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai hadir ke ceramah itu, namun Pengerusi PN Pulau Pinang itu diminta untuk meninggalkan majlis kerana dikatakan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan,” lapor media itu.
Sementara itu, lapor Metro, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, ketika dihubungi mengesahkan parti itu tidak diundang untuk menghadiri program Ceramah Mega PN Best berkenaan.
“Saya hanya maklum mengenai penganjuran Ceramah Mega PN Best menerusi siaran langsung di Facebook,” lapor Metro lagi.
Ceramah Mega PN Best itu turut menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad serta barisan calon yang mewakili parti itu, termasuk tiga calon Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Sebelum ini, Pas Tasik Gelugor membuat demonstrasi membantah pemilihan Dominic Lau bertanding di Dun Bayan Lepas, Pulau Pinang satu kawasan di bawah parlimen Balik Pulau.