Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Shah Alam: Kementerian Pertahanan sudah menyerahkan notis pembatalan kontrak kepada syarikat pembekal empat helikopter UH-60A Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan pelanjutan kontrak oleh syarikat itu pada Oktober lalu selepas gagal mematuhi kontrak penyerahannya.

“Oktober sudah berakhir. Tiada apa-apa (Black Hawks), tiada apa-apa.

“Notis pembatalan sudahpun dihantar,” katanya ringkas dalam sidang media selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Batalian Malaysia (Malbatt) 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, kementerian memberi tempoh kepada syarikat pembekal sehingga Oktober untuk memenuhi penghantaran empat Black Hawk.

Pada Ogos lalu, kementerian itu sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk untuk TDM.

Kementeriannya sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lalu, mereka menandatangani kontrak menyewa empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.-Harian Metro Online