Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kerajaan menyalurkan pembiayaan berjumlah RM6.35 billion pembiayaan kepada 265,097 usahawan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) setakat September tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata kementerian melalui agensinya sentiasa komited untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelbagai aspek.

“KUSKOP menggalakkan penglibatan usahawan untuk menjalankan perniagaan dalam program anjuran KUSKOP dan agensi seperti Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Setakat 30 September 2024, sebanyak 95 program JMKU telah dilaksanakan dengan merekodkan jumlah jualan sebanyak RM8.54 juta.

“Selain itu, penganjuran Showcase SDSI di Sabah, Perak dan Johor mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.22 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung bantuan dan sokongan kementerian kepada golongan usahawan kecil yang berdepan penurunan margin keuntungan ketara di sebalik pemulihan ekonomi.

Ramanan berkata sektor PMKS telah merekodkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2023 berdasarkan petunjuk makroekonomi utama iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport, pekerjaan dan produktiviti.

Dalam pada itu, PMKS turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus, menyumbang sebanyak RM613.1 bilion pada 2023 berbanding RM584 bilion dicatatkan tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini juga adalah selari dengan hasil Tinjauan PMKS 2024 oleh SME Corp, menunjukkan prestasi PMKS lebih baik, sebanyak 53 peratus responden memperoleh jualan lebih tinggi pada 2023.

“Selain itu, sebanyak 74.2 peratus responden menyatakan perniagaan mereka akan bertambah baik pada 2024,” katanya.-Harian Metro Online