KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti langkah untuk meminda undang-undang susulan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi mempertahankan hak negara dan kepentingan awam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pindaan undang-undang itu bagaimanapun tidak boleh bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan sementara menghormati hak milik perseorangan.
Katanya, isu tanah itu berbangkit sejak 1956 dengan pampasan sebanyak RM1.4 juta membabitkan antaranya tanah Masjid Wilayah Persekutuan, Stadium Hoki dan Pusat Tennis Tun Razak.
“Sebab itulah kerajaan terus menggunakan jalur undang-undang merayu terhadap keputusan mahkamah dan terakhir keputusan Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasa pindah milik kepada syarikat dan kerajaan akan terus merayu,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) mengenai langkah penyelesaian kerajaan dalam kemelut Duta Enclave di Mukim Batu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur oleh Kerajaan Persekutuan kepada Semantan Estate Sdn Bhd yang memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.-BH Online