Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia memiliki kelebihan dalam memilih bentuk pelaburan diinginkan susulan keupayaan menarik pelabur dalam pelbagai bidang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, jika sebelum ini negara menerima kemasukan pelabur tanpa mengira jenis pelaburan, Malaysia kini menjadi lebih selektif berhubung perkara itu.

“Dahulu kita terima semua pusat data, sekarang tidak… pusat data kalau ditambah pusat kecemerlangan, kecerdasan buatan (AI) dan pertukaran latihan serta pendedahan, ya (kita terima pelaburan itu), jika tidak, kita tidak akan terima.

“Kita ada kelebihan di sini kerana kita sudah sampai ke tahap di mana kita boleh menjadi lebih selektif kepada jenis pelaburan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk Sektor Tenaga Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi Yang Mampan dan Inklusif di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu mengimbangi hubungan antara negara luar dalam usaha meningkatkan pelaburan dan pada masa sama, mengekalkan pendirian menyokong Palestin.

Katanya, imbangan itu penting dalam membina kekuatan dalaman demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

“Saya tahu pendirian kita mengenai Gaza, tetapi harus ingat juga mengenai kepentingan negara.

“Sebab itu saya sebut pada mesyuarat Jemaah Menteri, saya kata soal Gaza ini kita kekal pendirian tegas… baik depan (Presiden Amerika Syarikat, Joe) Biden, baik depan Antony Blinken (Setiausaha Amerika Syarikat).

“Saya ingatkan mereka bahawa (Israel) sudah langgar semua pertimbangan kemanusiaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pencerobohan dan kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin semakin melampau serta tidak berperikemanusiaan hingga sanggup membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Menjijikkan, saya tengok hari-hari anak kecil dibunuh. Ini satu moral yang bankrap sebab itu saya kata tidak ada perasaan, tidak ada kemanusiaan,” katanya.-BH Online