Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan program Pembangunan Bakat Sukan Dalam Kalangan Badan Beruniform, hari ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu diambil selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan bilangan 2 2024 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Zahid, program itu bertujuan membangunkan satu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang dinamik dengan memanfaatkan bakat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA).

“Inisiatif ini menyasarkan kerjasama strategik secara berperingkat antara MSN dan badan-badan beruniform,” kata Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.

“Beberapa langkah akan diambil untuk memperkasakan anggota badan beruniform dalam sukan, antaranya penyediaan peralatan latihan dan kemudahan sewaan pusat latihan bagi memastikan latihan dijalankan dengan efisien. 

“Selain itu, kursus kejurulatihan dan sains sukan akan dianjurkan dalam kalangan pegawai dan anggota supaya lebih ramai jurulatih dari anggota badan beruniform memiliki sijil yang diiktiraf.

“Turut diambil penekanan adalah penganjuran kejohanan tempatan dan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara supaya bakat-bakat ini dapat didedahkan dengan lebih banyak pertandingan di peringkat tempatan dan antarabangsa.”

Zahid berkata antara sukan yang akan diberi perhatian ialah sepak takraw, karate, tinju, ping pong, angkat berat, menembak dan memanah dengan pembabitan agensi seperti BOMBA, ATM dan PDRM.

Selain itu, agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut akan diserap dalam program pembangunan ini.-BH Online