Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM900 juta bagi Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan membabitkan sebanyak 48 PRR, 14 projek RMR dan tiga projek baharu membabitkan 600 unit rumah dalam Pembangunan Perumahan Inklusif Madani (PIM), PRR Kampung Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan dan PRR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
“KPKT turut meningkatkan kadar siling bina baharu kepada RM90,000 daripada RM75,000, serta menaikkan kadar siling baik pulih rumah rakyat kepada RM20,000 daripada RM10,000.
“Ia dapat membantu rakyat, terutamanya komuniti yang mendiami kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya ketika sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025, di sini, semalam
Bagi penyelenggaraan rumah strata kos rendah dan sederhana, Nga berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM185 juta, termasuk sebanyak RM88.1 juta bagi penggantian lif usang.
Beliau berkata, menerusi langkah itu, KPKT berhasrat untuk menjadikan PRR berkenaan berprestasi unggul setaraf dunia.
“Saya yakin inisiatif ini akan memberi impak positif kepada sektor perumahan dan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara,” katanya.
Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) adalah antara 11 fokus utama KPKT dalam pembangunan belanjawan 2025.-My Metro Online