Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Projek pembinaan laluan jalan raya yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand, akan memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan Thailand serta memudahkan pergerakan ekonomi dan sosial di sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata projek berkenaan juga merupakan manifestasi keprihatinan kementerian itu dalam memastikan keselamatan sempadan sentiasa terjaga, selain meningkatkan kemudahan infrastruktur yang lebih baik untuk pasukan keselamatan negara.

Saifuddin Nasution berkata, antara skop utama projek itu ialah pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala sepanjang 900 meter (m) dan pembinaan Jalan Perkhidmatan Piawaian sepanjang 300m yang akan menghubungkan jalan utama ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam.

Selain itu, projek berkenaan membabitkan meroboh dan membina semula 10 blok bangunan di Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Bukit Kayu Hitam, dan pembinaan sebuah Pos Kawalan Akhir serta Pintu Gerbang Berbumbung yang baharu, yang bakal menjadi simbol penyambutan antara dua negara jiran.

“KDN akan terus komited memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa berada pada tahap terbaik, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, ihsan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya. – BERNAMA