PUTRAJAYA: Malaysia berpeluang mempelajari pelbagai aspek pengurusan bencana daripada negara ASEAN, di samping China, Jepun dan Korea, menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Kali Ke-12 yang berlangsung di Brunei mulai semalam hingga esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai perkongsian daripada negara-negara terbabit amat bermanfaat kepada Malaysia walaupun negara tidak berhadapan bencana besar seperti gempa bumi.
“Kita harus pelajari tentang pengurusan untuk menangani bencana, terutama daripada Jepun dan China yang sering mengalami bencana sama ada banjir, salji, pergerakan cerun dan malapetaka alam yang lain.
“Ini yang harus kita pelajari bagi melengkapkan dari segi kesiapsiagaan (ini penting),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pengalaman daripada negara-negara berkenaan juga memberi kesedaran kepada Malaysia bahawa bukan hanya kudrat manusia diperlukan ketika bencana, sebaliknya juga memerlukan peralatan moden, teknologi baharu serta sistem amaran awal.
“Kita telah melaksanakan (peralatan moden, teknologi baharu serta sistem amaran awal) tetapi mereka lebih maju daripada kita,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut komited untuk mencontohi negara-negara berkenaan yang bersiap sedia lebih awal dan kemas, apabila ditimpa bencana.
Beliau juga berkongsi mengenai komitmen yang ditunjukkan oleh negara ASEAN, apabila Malaysia menawarkan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk.
“Semua negara ASEAN telah memperlihatkan komitmen masing-masing terhadap tawaran ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengenal pasti sekolah yang bersesuaian untuk dijadikan pusat pemindahan kekal bagi menggantikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan digunakan ketika bencana.
“NADMA telah bekerjasama dengan pihak sekolah dan kenal pasti sekolah yang sering dijadikan PPS, untuk kita wujudkan pusat pemindahan kekal yang dilengkapi kemudahan bilik air, tandas dan tempat penginapan yang lebih selesa berbanding PPS,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu sebagai memanfaatkan sebahagian peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.
“Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan kepada NADMA dan tentunya Perdana Menteri mengharapkan pelbagai langkah produktif dilakukan, bukan sahaja oleh NADMA yang merupakan badan koordinasi menangani bencana tetapi juga membabitkan penyertaan Jawatankuasa Bencana Negeri dan peringkat daerah,” katanya.
Dengan peruntukan itu juga, beliau berkata, NADMA akan meningkatkan jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk beberapa persatuan radio amatur serta persatuan kenderaan pacuan empat roda.
“Ini penting terutama apabila sistem telekomunikasi terputus kerana sebelum ini kita guna GERN (rangkaian radio bersepadu kerajaan), tetapi kali ini kita akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan ini, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk khidmat sukarelawan,” katanya.
Ahmad Zahid kini berada di Brunei bagi mewakili Malaysia pada AMMDM yang bertema ‘Membangunkan ASEAN yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan’, yang menekankan kepentingan usaha bersama dalam menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam. – BERNAMA