Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengurniaan bersejarah gelaran Profesor Diraja kepada Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, akan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutama ahli akademik Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pengurniaan itu diharap dapat merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan, seterusnya menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di negara ini.

Beliau berkata, susulan pelantikan itu, kerajaan bersetuju memberi anugerah berjumlah RM500,000 kepada Syed Muhammad Naquib sebagai mengiktiraf dan menyanjung sumbangan beliau terhadap bidang pendidikan.

“Beliau merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara.

“Beliau juga memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

“Warisannya tidak ternilai kepada bidang bahasa adabiyat (peradaban) dan kesusasteraan Melayu,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Profesor Diraja di Istana Negara, hari ini.

Mengimbau latar belakangnya, Zambry berkata Syed Muhammad Naquib, 93, mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar pada 1946.

Beliau kemudian mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada 1963.

Sementara itu, Zambry menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja untuk mengurniakan pelantikan Profesor Diraja kepada Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kerajaan kerana memulakan langkah cadangan pengurniaan itu bagi diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan. – BERNAMA