Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan 17,452 keputusan kewarganegaraan setakat 1 Oktober lalu, melebihi sasaran 17,000 permohonan yang ditetapkan. 

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN sentiasa komited untuk memastikan setiap permohonan kewarganegaraan diproses dengan telus, adil dan mengikut peruntukan undang-undang.

“Setiap permohonan kewarganegaraan memerlukan penelitian rapi berdasarkan peruntukan undang-undang dan kementerian berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi mereka yang telah mengemukakan dokumen lengkap.

“Bagaimanapun, proses ini perlu dijalankan dengan cermat bagi memastikan pemohon memenuhi semua syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.

“Permohonan kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan dan tidak diberikan sewenang-wenangnya justeru setiap permohonan akan dinilai dengan teliti tanpa mengira keturunan, agama atau pangkat pemohon,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang ingin mengetahui langkah KDN memastikan mereka yang mempunyai kad pengenalan merah dan mempunyai dokumen permohonan lengkap tidak menunggu lama dalam proses permohonan mereka.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pertimbangan dibuat berdasarkan syarat dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan seperti pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

Katanya, penilaian setiap permohonan bergantung kepada dokumen sokongan dan fakta kes dikemukakan.

“Walaupun proses ini memerlukan masa, KDN berusaha mempercepatkan pengeluaran keputusan.

“Sebagai tambahan, KDN mengeluarkan Prosedur Pengendalian Standard Permohonan Kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada 30 September lalu yang akan memastikan proses permohonan dan tempoh masa pemprosesan selama setahun.

“SOP 19(1) ini akan berkuat kuasa bagi permohonan kewarganegaraan mulai 1 Januari 2025,” katanya.-BH Online