Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penentuan 15 peratus golongan yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 atau T15 akan merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kelas pendapatan B40, M40, T20 atau T15 hanyalah garis statistik yang bergantung kepada set data.

“Kalau set data itu merujuk kepada taburan pendapatan isi rumah seluruh Malaysia, maka T15 merujuk kepada isi rumah yang taburan pendapatannya adalah 15 peratus paling tinggi.

“Tetapi kita sedia maklum bahawa kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi, tanggungan dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial rasmi beliau hari ini.

Rafizi berkata, tiada kenaikan harga RON95 kepada golongan yang berada dalam 85 peratus terbawah dari segi kedudukan sosio-ekonomi. 

“85 peratus daripada kita akan terus bayar harga RON95 seperti biasa, jadi tidak timbul soal subsidi ditarik, rakyat dibebankan seperti yang diuar-uarkan.

“Bagi golongan yang berada di dalam 15 peratus teratas dari segi kedudukan sosio-ekonomi, mereka akan membayar harga pasaran,” katanya sambil menambah bahawa proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah keluarga yang lebih adil ini sedang berlaku. 

Menjawab dakwaan bahawa pengumuman dibuat tanpa mengadakan perbincangan terlebih dulu, beliau berkata pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil itu telah dibincangkan sebelum ini.

“Di Parlimen pun saya telah nyatakan hasrat kerajaan untuk beralih dari pengukuran berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Kaedah-kaedah yang dicadangkan dan dipertimbangkan juga telah dibentangkan dan dibincangkan di pelbagai peringkat kerajaan.

“Sekarang, setelah kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 dengan garis masa yang jelas, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.

“Setelah semuanya telah diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata belanjawan ialah penyataan hasrat dan rancangan kerajaan untuk tahun itu. 

“Hatta angka-angka yang diumumkan itu adalah satu anggaran dan unjuran. Bukannya kita buat spesifikasi bangunan, lantik kontraktor baru dimasukkan dan diumumkan di dalam belanjawan.

“Kerajaan menyatakan rancangan pendapatan dan perbelanjaan, yang melibatkan dasar-dasar dan projek-projek pada anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat. 

“Selepas diluluskan, kerajaan kemudian menggunakan kelulusan itu untuk memperincikan projek-projek untuk dilaksanakan, termasuklah membuka tender, melantik kontraktor dan sebagainya,” katanya.-BH Online