Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG JAYA: Sebanyak 38 kes berkaitan keselamatan atlet diterima sejak 2021 menerusi inisiatif Kod Sukan Selamat di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes masih aktif sementara selebihnya telah diselesaikan menerusi kerjasama pelbagai pihak.

“38 kes sudah sampai ke peringkat Majlis Sukan Negara (MSN). Selalunya selepas kita pertingkatkan lagi kesedaran, kes akan meningkat bukan kerana ada banyak kes tetapi mereka sudah ada kesedaran bahawa perkara itu sesuatu yang salah dan ia boleh dilaporkan.

“Tidak perlu panik kes bertambah kerana ini adalah akibat daripada program kesedaran yang dilakukan,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak bercadang untuk mencari pengganti Sabah yang menarik diri daripada menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Hannah berkata, pelan penganjuran temasya sukan dwitahunan tersebut tetap berjalan seperti biasa dengan Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Sarawak kekal sebagai penganjur bersama.

“Memang tiada negeri lain sebab kita dah hantar notis sebelum ini. Kita ada tiga (negeri) dan ia cukup, jangan risau ia tidak akan tergendala walaupun tiada Sabah. Mesyuarat lebih lanjut berhubung penganjuran Sukan SEA akan diadakan secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, KBS sedia melihat bentuk bantuan boleh disalur kepada pemain beregu wanita profesional negara Ng Qi Xuan susulan kecederaan lutut dialami pada kejohanan Malaysia Super 100 minggu lepas, yang memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan.

Qi Xuan menerusi Instagramnya memaklum, kecederaan itu memerlukan kira-kira RM25,000 hingga RM30,000 untuk pembedahan dan bil hospital, berikutan polisi insuransnya tidak menanggung kos berkenaan.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan bantu daripada segi rehabilitiasi dan saya sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Faedzal (Ahmad Faedzal Md Ramli) untuk lihat apa lagi bantuan boleh diberi kepada atlet ini,” katanya. – BERNAMA