KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bersetuju dan memutuskan supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan Ahli Dewan Rakyat membabitkan dua negeri itu, dari sudut perundangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak itu adalah sebahagian daripada agenda yang dibincangkan dalam MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 pada 12 September lalu di antara Kerajaan Persekutuan bersama kerana negeri Sabah dan Sarawak.
Katanya, kerajaan akan terus komited dalam memastikan perkara yang termaktub dalam MA63 diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.
“Kerajaan Persekutuan juga akan terus memantau kemajuan perbincangan mengenai semua tuntutan ini bagi memastikan penyelesaian bersama antara kementerian atau agensi berkaitan serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dapat dicapai,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat, yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perincian mengenai empat tuntutan yang belum dipersetujui dalam MA 1963 membabitkan sempadan laut, royalti minyak, duti setem dan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, menurut Perdana Menteri, tuntutan membabitkan mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), hak negeri ke atas pelantar benua, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum dibincangkan oleh kepimpinan peringkat tertinggi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Katanya, tuntutan mengenai duti setem pula perlu dibincangkan dalam forum yang berasingan memandangkan ia membabitkan tafsiran undang-undang dan memerlukan penelitian semula oleh pihak yang berkenaan.
“Sebagai tambahan, berhubung isu minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, penyelesaian secara komersial dipersetujui di antara PETRONAS bersama dengan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah.
“Hasilnya, Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Sarawak dengan PETRONAS ditandatangani pada 2020, manakala Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Sabah dengan PETRONAS ditandatangani pada 2021,” katanya.
Anwar berkata tuntutan berkaitan pelaksanaan MA63 adalah antara agenda yang diberikan penekanan utama Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan dengan segera.
“Sejak Januari 2023, kerajaan Persekutuan menambah baik platform perundingan mengenai MA63 kepada MTPMA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.
“Selain itu, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh saya sendiri juga ditubuhkan di bawah MTPMA63,” katanya.-BH Online