Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Filipina komited untuk mengukuhkan hubungan bilateral antara dua negara, selain meneroka peluang kerjasama dalam industri halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengurusan bencana.

Hasrat itu dizahirkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan kunjungan hormat bersama Presiden Republik Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr.

Ahmad Zahid berkata, menyedari kepentingan pengurusan bencana, Malaysia dan Filipina turut membincangkan potensi inisiatif latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi berkaitan di Filipina untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bersama. 

Selain itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata Malaysia juga berminat menjalin kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina (TESDA) terutama membabitkan perkongsian kepakaran dan amalan baik dalam aspek TVET.

“Ia termasuk dalam penekanan perbincangan hari ini berhubung kepentingan TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

“Dalam aspek bencana pula, saya juga menegaskan semula komitmen kami untuk memberikan bantuan kepada Filipina ketika menghadapi bencana,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Filipina bermula hari ini.

Melalui lawatan itu, Ahmad Zahid dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Ferdinand dan Naib Presiden, Sara Duterte.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mengintai ruang dan peluang ke arah meningkatkan kerjasama dalam industri halal.

Beliau berkata, ia terutamanya membabitkan langkah memperluas usaha pensijilan halal dan meneroka peluang pertumbuhan perdaganganhalal baharu, termasuk sektor pelancongan halal. 

“Dalam aspek pengukuhan kerjasama bilteral antara dua negara itu, ia disifatkan penting, seiring persediaan Malaysia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

“Saya memberikan penekanan terhadap nilai dan aspirasi yang dikongsi bersama, selain menggariskan komitmen senada terhadap kestabilan dan kemakmuran serantau. 

“Saya meletakkan harapan tinggi bahawa pertemuan ini akan menjadi asas ke arah usaha memperkukuh hubungan dengan kerajaan Filipina dan melorongkan laluan terhadap lebih banyak usaha Kerjasama pada masa hadapan,” katanya.-BH Online