KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Kerajaan bakal mewujudkan undang-undang baharu bagi membendung jenayah dalam talian yang semakin membimbangkan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata undang-undang tersebut akan dibahas dan diluluskan selepas pembentangan Belanjawan 2025 selesai pada Jumaat ini.
“Kerajaan telah mewujudkan kementerian digital yang menunjukkan masa depan negara ke arah digital. Kepekaan terhadap isu ini amat diperlukan dan selepas belanjawan, kita akan bahas dan luluskan undang-undang jenayah dalam talian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Azalina berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mengenai sindiket penipuan yang mencuri wang simpanan pengguna melalui akaun bank.-Berita RTM