MELAKA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sudah melakukan persediaan awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri di Pantai Timur selain Sabah dan Sarawak, bulan depan.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata persediaan termasuk pembelian beberapa aset seperti bot dan peralatan bantuan kecemasan yang sudah dilakukan sejak awal tahun bagi menghadapi sebarang bencana di seluruh negara.null
“Kita sudah bersedia sejak awal tahun lagi dan sudah pasti apabila MTL yang dijangka berlaku bulan depan ini, kita akan beri tumpuan sepenuhnya.
“Berdasarkan pengalaman kita di Kedah dan Perlis, anggota pertahanan kita memang digerakkan untuk membantu mangsa banjir, malah saya sudah memaklumkan kepada semua kem tentera di seluruh negara supaya menyediakan anggota yang tidak terbabit dalam apa-apa operasi pertahanan supaya sentiasa bersiap sedia memberikan tumpuan kepada bencana banjir.
“Kita tidak menetapkan jumlah yang akan terbabit dengan misi bantuan banjir itu, ia bergantung kepada kekuatan yang kita ada dan keperluan yang sesuai di lokasi bencana,” katanya selepas merasmikan Program Santuni MADANI peringkat negeri di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, orang ramai perlu bersiap sedia bagi menghadapi MTL yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kesiapsiagaan harus dilakukan oleh agensi berkaitan dan rakyat yang berada di kawasan berisiko banjir.-BH Online