Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Malaysia dijangka menjadi perhatian dunia bermula akhir tahun ini, susulan tanggungjawab negara yang menjadi tuan rumah beberapa perhimpunan serantau penting.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan itu bukan saja disebabkan kekuatan kerajaan yang ada kini, namun juga ekoran rasa hormat dan persahabatan dari negara luar.

“Kita bersahabat dengan semua, tiada negara yang boleh arah kita dan ini sebab masyarakat serta negara kita bersatu dan kita punya kerajaan yang kuat hari ini.

“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri India, Australia dan Kanada yang memberikan perhatian baik, saya percaya akhir tahun ini dan tahun depan Malaysia akan jadi perhatian dunia,” katanya ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-78, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM), hari ini.

Jumaat lalu, Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, daripada Laos.

Upacara simbolik serahan tugas kepada Malaysia yang akan bermula pada 1 Januari 2025 itu dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menjadi tumpuan melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk) + China pada Mei depan.

Beliau berkata, melalui sidang kemuncak itu, ia membabitkan penyertaan enam negara iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

“Akhir tahun, kita ada pertemuan negara ASEAN dengan Amerika Syarikat (AS), China, Korea, Jepun, Eropah, India, New Zealand dan ini memberikan perhatian dan tumpuan kepada kita.

“Kita berdiplomasi, orang hormat negara kita, Malaysia harum tetapi utamanya adalah ekonomi, perdagangan, pelaburan, perniagaan dan peluang bagi rakyat Malaysia dalam aspek itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu semua pihak khususnya industri termasuk ACCIM dan Dewan Perniagaan Malaysia (DPM) memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan matlamat negara itu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang penting termasuk dari Amerika Syarikat (AS) walaupun dunia tahu pendirian negara terhadap Gaza dan Palestin.

Katanya, Malaysia mahu terus ‘berkawan’ dengan semua dan bebas untuk membuat keputusan berdagang dengan mana-mana negara.

“Kita mengambil sikap terbuka…saya berjumpa Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (sebelum ini) melalui mesyuarat penting dan ucapkan terima kasih kerana pelaburan syarikat digital, kecerdasan buatan (AI) yang besar.

“Tentunya adalah kerana kejayaan kerajaan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan peranan kementerian lain tetapi dalam perbincangan itu beliau menyatakan ya Malaysia menjadi destinasi pelaburan dan tarikan penting.

“Beliau sebut ratusan bilion pelaburan dari AS ke Malaysia walaupun kita tahu pendirian saya mengenai Gaza, dalam soal hubungan dengan China.

“Malaysia mahu maju berkawan dengan semua tetapi kita bebas, negara ini merdeka dan bebas dan kita buat keputusan untuk berdagang dan bersahabat dengan semua,” katanya.-BH Online