PUTRAJAYA: Sebanyak 336 kes daripada 59,860 panggilan diterima Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental (Talian Heal) membabitkan kecenderungan bunuh diri.
Berdasarkan statistik sejak talian itu diaktifkan pada 2022 hingga semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata 198 daripada jumlah kes itu membabitkan idea atau pemikiran untuk berbuat demikian.
Katanya, 138 kes lagi adalah berkaitan cubaan membunuh diri.
“Kita dapati panggilan idea untuk membunuh diri ini iaitu 198 kes, dia memang menghitung-hitung ke arah itu.
“Ini perlu intervensi segera dan kenal pasti (isu) supaya kita dapat mengelak mereka daripada melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 peringkat kebangsaan di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 59 peratus atau 35,590 daripada jumlah panggilan diterima Talian Heal memerlukan sokongan emosi.
Katanya, sebanyak 24,270 panggilan memerlukan intervensi khusus membabitkan ‘psiko pendidikan positif’ berkaitan mengurus dan kaunseling.
“Itu sebabnya sangat mustahak pengurus tertinggi organisasi dan tempat kerja sama ada pengarahnya dan yang lain supaya mewujudkan empati dan suasana kerja yang adil.
“Walaupun pimpinan mahu semuanya bekerja dengan hebat dan baik tetapi kita mesti tahu sebaik-baiknya adalah apabila kita dapat sokongan dan kerjasama daripada anak buah kita ketika mereka seronok menjayakan apa yang dikatakan sebagai visi dan cita-cita organisasi, pemimpin mereka,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai masalah kesihatan mental, beliau berkata, semua pihak perlu berperanan bagi menangani masalah terbabit.
“Usaha bagi menangani isu kesihatan mental termasuk di tempat kerja secara tuntas memerlukan komitmen padu semua pihak,” katanya.-Berita Harian Online
