Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pengangkutan (MOT) yakin pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer (km) tidak akan terjejas walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka bermula bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya yakin Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sudah melakukan persiapan rapi dan mengambil kira semua faktor dan risiko yang ada terutama di negeri Pantai Timur.

Katanya, ia termasuk pembinaan landasan lebih tinggi terutama di kawasan yang berisiko bagi memastikan ia tidak mudah terjejas akibat banjir.

“Semua sudah diambil kira (dan) saya yakin mereka sudah membuat perancangan mereka dengan rapi (kerana), mereka tahu cuaca di Pantai Timur ini. MRL pun sudah ada pengalaman beberapa tahun, saya yakin mereka boleh membuat kerja mereka mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan MRL di sini hari ini.

Terdahulu, Loke bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara EPIC dan MRL.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad, Ts Muhtar Suhaili dan CEO MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Sementara itu, Loke berkata, jajaran projek ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sudah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 72.93 peratus setakat September lalu.

“Tahap kemajuan memberangsangkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026, manakala jajaran rel antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

“Pembinaan projek ECRL di Terengganu juga lancar dan mencapai kemajuan 87.4 peratus setakat September lalu, sekali gus menjadikan negeri itu mencatatkan peratusan tertinggi dan mendahului di bawah projek mega berkenaan,” katanya.

MTL dijangka bermula bulan depan dan berterusan sehingga Mac 2025.-BH Online