Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengemukakan 32 cadangan insiatif Belanjawan 2025 kepada Kementerian Kewangan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata semua cadangan itu adalah untuk memperkukuhkan pengurusan rantaian makanan bagi menjamin bekalan yang lebih tersusun dan berstruktur.

“Isu geopolitik dalam pertanian sering kali berkait rapat dengan kedaulatan negara, di mana kawalan terhadap sumber makanan dianggap lebih kritikal daripada aspek keselamatan fizikal. 

“Dalam hal ini, KPKM menggalas tugas yang sangat besar bagi memastikan kecukupan dan keterjaminan makanan dalam negara tanpa perlu bergantung kepada sumber luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPKM di sini, hari ini.

Mohamad Sabu berkata, ketegangan geopolitik dan perubahan iklim memberi impak kepada perubahan dasar negara pengeluar dan kenaikan harga barang dunia. 

Katanya, ia memberi kesan rantaian kepada ekonomi domestik bagi Malaysia yang bergantung kepada import bekalan makanan. 

“Oleh itu, kedaulatan makanan dilihat lebih penting daripada sekadar keselamatan kerana ia menyentuh kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan jangka panjang negara.

“Maka, KPKM sudah mengemukakan 32 cadangan inisiatif Belanjawan 2025 kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.-BH Online