Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: DAP tidak pernah ‘buka buku’ untuk sebarang perbincangan, mengungkit atau mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan turut ditubuhkan di Johor.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mahu polemik kononnya Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu, dihentikan.nullnull

Beliau berkata, DAP ketika ini selesa memainkan peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pengimbang yang menyokong kerajaan negeri.

Malah, katanya, DAP menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan tiada pembangkang di Johor sebaliknya hanya ada wakil pengimbang.

“Hakikatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Barisan Nasional (BN) menang 40 kerusi dan tubuhkan kerajaan dengan selesa. PH yang pada ketika itu ‘lawan’ BN, hanya menang 12 kerusi termasuk MUDA satu kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi.

“Itu hakikatnya yang perlu kita (PH) terima. Itu sebabnya saya berharap polemik baru-baru ini mengenai Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu ditimbulkan dan dihentikan.

“DAP tak pernah dan tidak akan mengemis jawatan kerajaan negeri. Jika nak jawatan kerajaan, kita lawan pada pilihan raya dan menang.

“Nasihat saya pada ahli DAP supaya bersabar dan mainkan peranan kita sebagai ADUN dan Ahli Parlimen. Kita teruskan berkhidmat, pastikan kita kuat dan menang sokongan rakyat supaya dapat kekal setiap kerusi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk AMANAH mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan selesa BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, akhir bulan lalu.

Ia kemudian disambut beberapa pemimpin BN, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang membantah menyebabkan polemik berterusan antara BN dan PH di Johor.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pendirian DAP sejak dulu adalah jelas bahawa parti itu tidak pernah mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Malah, katanya, beliau sudah memaklumkan kepada Chin Tong sejak tahun lalu supaya tidak perlu bincang, ungkit mahu pun mencadangkan mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

“Kita menerima hakikat bahawa Kerajaan Johor hari ini ditubuhkan sebelum Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

“Johor sudah tubuh kerajaan negeri dan kita tidak mahu ganggu perjalanan kerajaan dan tak nak rumitkan keadaan.

“DAP tak pernah ‘buka buku’ pun pasal Kerajaan Perpaduan, jadi jangan salahkan DAP kerana kita tak pernah cadang, ungkit atau tuntut ia ditubuhkan. Jangan ada mana-mana pihak pun nak menyalahkan DAP,” katanya.

Mengulas bentuk kerjasama antara PH dan BN Johor dalam pilihan raya umum dan PRN16 nanti, Loke berkata, ia akan dibincangkan apabila waktunya pilihan raya akan berlangsung.

“Itu belum sampai ke sana. Kita akan bincang apabila sampai masanya nanti di peringkat Persekutuan termasuk apa model kerjasamanya, pembahagian kerusi dan sebagainya, sama ada kita bekerjasama atau sebaliknya itu akan diputuskan kemudian,” katanya.-BH Online