Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah sebentar tadi diisytiharkan sebagai wakil rakyat yang dipilih bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Azurawati Wahid, selepas Ketua Pemuda UMNO Kluang itu menang dengan majoriti 20,648 undi.

Pengumuman dibuat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini selepas kiraan rasmi undian bagi 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran selesai.

Kiraan turut membabitkan undi awal berlangsung Selasa lalu membabitkan 4,437 pengundi terdiri anggota tentera dan pasangan, serta polis di tiga pusat mengundi awal.

SPR juga mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September lalu dengan peratusan keluar mengundi bagi PRK ini adalah 53.84 peratus, berbanding 57.34 peratus pada PRN lalu.

Berdasarkan kiraan rasmi diumumkan, Syed Hussien memperoleh 27,995 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang memperoleh 7,347 undi.

Dengan kemenangan itu, BN sekali gus mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar, empat kali ganda berbanding dicatatkan parti di kerusi sama pada Pilihan raya Negeri 2022.

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi semua 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN gagal menguasainya

PRK DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Dalam PRN pada 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang dan PRK DUN Nenggiri di Kelantan.-BH Online