Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BEIJING: Malaysia mengalu-alukan kerjasama syarikat telekomunikasi (telco) dengan organisasi media tempatan untuk membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menghasilkan kandungan dan membuat pelaporan dengan cekap serta berkesan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memberi contoh Huawei sebagai syarikat China yang memiliki aplikasi AI serba canggih serta boleh digunakan dalam pelbagai bidang, termasuk industri media dan perfileman.

“Saya mendapati ada beberapa aplikasi yang sangat menarik, sama ada dari segi ‘digital twinning’, aplikasi terjemahan bahasa, ‘large language modelling’ untuk meneliti ramalan kaji cuaca, dan beberapa aplikasi lain untuk mengoptimumkan rangkaian.

“Justeru, saya telah meminta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk meneliti beberapa aplikasi ini.

“Saya juga meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) untuk meneliti, terutama aspek penggunaan AI untuk membuat penterjemahan,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huawei yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun, dengan U Mobile yang diwakili Ketua Pegawai Pemasaran, Navin Manian.

Melalui MoU itu, kedua-dua syarikat terbabit akan bekerjasama membangunkan penyelesaian untuk pasaran menegak Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta logistik, menggunakan pengalaman Huawei dengan model perniagaan perusahaan global.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk melihat sendiri teknologi AI digunakan Huawei dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, telekomunikasi, penghasilan kandungan digital dan perumahan.

Ditanya berhubung risiko penggunaan AI pula, beliau berkata, kerangka kawal selia teknologi AI yang mapan dan menyeluruh diperlukan bagi memastikan matlamat penggunaannya tercapai.

“Kita perlu berpandangan jauh dan tidak boleh terlalu konservatif dalam memahami kemampuan teknologi seperti AI.

“Namun, kita perlu berhati-hati supaya penggunaan teknologi AI tidak mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara,” katanya. 

Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke China bermula Khamis lalu dan dijadualkan berlepas ke Korea, esok, bagi menyertai GSMA Mobile 360 APAC serta menyampaikan ucaptama pada sesi ‘Building the AI-Enabled Digital Backbone.’ – BERNAMA