Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pemain industri halal di negara ini disarankan supaya tidak terlalu terbuka dalam berkongsi ilmu, strategi dan taktik pemasaran dengan negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan ia bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai peneraju dalam pensijilan dan pengeluaran produk halal yang terkemuka di dunia.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara menegaskan, perkongsian maklumat secara berlebihan berpotensi membolehkan negara lain meniru pendekatan Malaysia, sekali gus menjejaskan kedudukan negara ini sebagai peneraju produk halal yang dibina sejak 1974. null

“Sebagai contoh, Malaysia dahulu adalah negara pengeluar serta pengeksport komoditi getah dan sawit nombor satu di dunia, termasuk peneraju perbankan Islam.

“Namun, kita terpaksa akur apabila jatuh di kedudukan belakang berbanding negara-negara jiran kerana terlalu banyak berkongsi ilmu dan strategi,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024, di sini, hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, sikap terlalu ‘baik hati’ dalam berkongsi ilmu, teknologi dan pengetahuan perlu dikawal demi kepentingan negara.

“Kita terlalu baik hati dalam berkongsi… dan itu memang bagus. Namun, mengapa kita perlu berkongsi dengan semua orang? Ada kawan yang boleh kita berbincang tetapi ada juga yang berada di luar pagar kita. Ada yang boleh dibawa masuk ke halaman rumah… tetapi kini, kita seolah-olah membawa semua kawan kita berbincang hingga ke bilik tidur.

“Ini bermakna kita berkongsi terlalu banyak hal berkaitan strategi, taktik dan gerakan pemasaran. Akhirnya, kita akan tertinggal di belakang,” katanya-BH Online