Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Perpaduan yang disertai 19 parti gabungan ketika ini adalah kukuh, stabil dan sukar untuk digulingkan, jamin Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, berbanding ketika mula mengambil alih kerajaan pada November lepas, kesepaduan kesemua pimpinan termasuk mereka yang menganggotai Jemaah Menteri kini bertambah utuh dan sukar diganggu-gugat.

“Pada peringkat awal kita bentuk kerajaan, macam-macam cerita kita dengar tentang percubaan untuk ambil alih kerajaan dan ia dicanangkan dari bulan ke bulan sehingga yang terakhir semasa pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu.

“Sekarang timbul pula cerita yang Kerajaan Perpaduan akan jatuh pada Ogos ini…ini semua sembang sahaja.

“Jangan dengar dan termakan dengan cerita itu. Ketika ini kita (kerajaan) cukup kuat, utuh dengan semua kepimpinan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sepakat mempertahankan kerajaan sedia ada,” katanya pada majlis Ceramah Arus Merah Kuning sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Subang Bestari dekat sini

Hadir sama, Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari serta dua calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Perdana Menteri berkata, kestabilan kerajaan kini turut diperkuat dengan kesepaduan serta kesepakatan dua timbalannya iaitu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang terus menzahirkan sokongan kepada kekukuhan kerajaan.

Katanya, kestabilan kerajaan pimpinannya juga bertambah utuh menerusi komitmen jitu yang ditunjukkan oleh ketua-ketua parti baik PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan serta semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Anwar terus menzahirkan komitmen untuk tidak sesekali berkompromi dan memaafkan mereka yang terlibat dengan perbuatan dan mencuri harta negara, khususnya ketika mereka berkuasa.

“Mereka boleh tuduh saya macam-macam dan saya boleh maafkan tetapi apabila melibatkan rasuah, curi harta rakyat dan negara, saya tidak akan maafkan dan akan minta pihak berkuasa siasat sehingga kamu pulangkan wang yang dicuri kepada rakyat.

“Saya tidak mahu banyak berjanji, tapi yang pasti saya akan cuba sedaya upaya membuat perubahan ke arah kebaikan rakyat dan negara, itu saya berani janji,” katanya.

Berhubung PRN Selangor, Anwar berharap rakyat negeri itu dapat membuat pilihan bijak dengan memilih calon-calon daripada parti yang tekad utama mereka adalah menghapuskan rasuah, salah guna kuasa serta telah terbukti berjaya membangunkan negeri itu sehingga menjadi negeri termaju di Malaysia.

“Dalam hal ini, saya yakin rakyat Selangor tahu menilai dan akan menyokong calon-calon daripada PH-BN bagi menjamin kesinambungan pentadbiran baik kerajaan negeri ketika ini,” katanya.