Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEOUL, Korea Selatan: Sistem pertahanan negara bakal diperkasakan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) khususnya dalam bidang ketenteraan. 

Untuk peringkat awal Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mendalami intipati sewajarnya dalam menyediakan teknologi AI ke dalam sistem pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara lain yang turut diberi penekanan adalah memahami bagaimana kemajuan AI dalam aplikasi bidang ketenteraan mendatangkan manfaat kepada bidang pertahanan negara. 

“Atas dasar itulah maka kita (MINDEF) menyertai ‘Persidangan Kecerdasan Buatan (AI) yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan’ (REAIM) 2024, di Seoul yang dianjurkan oleh kerajaan Korea Selatan ini untuk kita memahami dan mendalami kemajuan AI yang semestinya membawa manfaat kepada negara dan perkara-perkara sewajarnya dihindari daripada AI.

“Pada masa ini, tidak banyak negara yang berada pada kedudukan dan pencapaian tertinggi dan atas sebab itulah kita melihat hanya beberapa negara sahaja yang mengambil peluang untuk bersama-sama menyertai REAIM 2024 ini. 

“Kehadiran kita akan membolehkan kita (MINDEF) meninjau dan melihat mana-mana aplikasi yang telah digunapakai negara-negara yang terlibat dalam persidangan REAIM 2024 ini supaya kita dapat membuat perbandingan dan mengambil maklumat berhubung teknologi AI dalam bidang ketenteraan yang sedang diaplikasi,” katanya selepas menghadiri sesi 1, REAIM 2024, hari ini. 

REAIM 2024 anjuran bersama Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Korea Selatan dan Belanda, Singapura, United Kingdom dan Kenya manakala delegasi Malaysia bersama lebih 90 negara lain adalah sebagai negara jemputan.

Mohamed Khaled berkata, antara isu penting yang dibangkitkan dalam sidang REAIM 2024 adalah persoalan tentang perlunya garis panduan tentang penggunaan teknologi AI dalam bidang ketenteraan. 

“Intipati yang dibangkitkan adalah perlunya amalan-amalan atau prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa dalam penggunaan teknologi AI dalam bidang ketenteraan yang mana saya percaya masih belum ada dan masih dalam peringkat perbincangan. 

“Seperti yang diperbincangkan dalam sesi REAIM 2024 sebentar tadi, teknologi AI ini kebaikan dan keburukan atau diibaratkan mata pisau tajam pada kedua-dua belah sisi, kita harus benar-benar tahu etika dan moral penggunaan teknologi ini. 

“Setiap pihak yang terlibat dalam penggunaan teknologi AI ini perlu tahu bagaimana hendak membahagikan kebertanggungjawaban antara manusia dan mesin atau sistem. 

“Kita kena fahami semua itu dan setakat mana kita ingin gunakan teknologi mesin AI ini dan setakat mana juga manusia tidak boleh melepaskan peranan dan tanggungjawabnya dalam bergantung kepada sistem ini, ini sangat penting,” katanya. 

Sementara itu, ketika ditanya sama ada ketiga-tiga cabang ATM telah mula menggunakan teknologi AI dalam ketenteraan, beliau menyatakan bahawa AI sedang digunakan tetapi ia belum meluas. 

Mohamed Khaled menambah bahawa penggunaan teknologi AI akan meningkatkan ketepatan dan keberkesanan dalam membuat keputusan ATM, kerana ia melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara. 

“Oleh itu, kementerian saya perlu merancang dengan sangat terperinci untuk pelaksanaan teknologi AI di peringkat ATM. 

“Penggunaan teknologi AI dalam ketenteraan seharusnya hadir di ketiga-tiga cabang ATM, dan ia mesti dipandu oleh pengguna akhir. Kami juga perlu mempertimbangkan kapasiti untuk membangunkan teknologi AI dalam negara,” katanya. 

MINDEF sokong usaha PBB guna teknologi AI

Dalam pada itu, Khaled berkata, MINDEF menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjalankan tanggungjawabnya dalam proses keamanan dan kemanusiaan menggunakan teknologi AI dalam bidang ketenteraan.

Menurut Khaled, penggunaan teknologi AI dalam bidang ketenteraan sedang meluas diaplikasikan di seluruh dunia. 

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat dua hala bersama wakil PBB, Nakamotsu Izumi, selepas REAIM, tengah hari tadi. 

“Hasil mesyuarat bilateral bersama pihak UN (PBB) mereka akan membawa isu berkenaan di peringkat PBB untuk meneliti keberkesanan penggunaan teknologi AI dalam bidang ketenteraan. 

“Perkara itu akan menjadi tumpuan utama di peringkat UN pada pertemuan dan perbincangan mereka yang akan datang dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, bukan hanya Malaysia, malah beberapa buah negara lain turut menggalakkan mereka menggunakan teknologi AI ini selaras dengan perkembangan semasa.-BH Online