Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Universiti Tsukuba yang menjadi antara 10 universiti terbaik di Jepun, memilih Malaysia untuk membuka kampus cawangan pertamanya di luar negara itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pembukaan kampus itu akan menjadi pendorong kuat untuk negara terus berusaha lebih gigih dalam mengekal dan meningkatkan taraf pendidikan supaya kekal sebagai contoh di persada global.

Beliau yakin, kehadiran Universiti Tsukuba Malaysia (UTMy) akan menyumbang kepada mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang lebih dinamik dan rancak di negara ini.

“Malaysia amat berbangga dengan UTMy menjadi kampus cawangan pertama universiti Jepun yang ditubuhkan di luar Jepun. 

“Pencapaian bersejarah ini membuktikan kepercayaan diberikan kepada Malaysia, terutama dalam sektor pendidikan tinggi negara.

“Kita juga percaya UTMy mempunyai banyak tawaran terutama dalam menyumbang kepada masyarakat bagi menangani isu kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), kesihatan, pencegahan bencana, kelestarian alam sekitar dan banyak lagi,” katanya berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi UTMy di Wisma R&D Universiti Malaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kanan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Yano Kazuhiko; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi dan Presiden UTMy, Prof Nagata Kyosuke.

Seramai 13 pelajar iaitu tujuh dari Malaysia dan enam dari Jepun akan memulakan pengajian di Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisipliner mulai esok.

Zambry berkata, penubuhan UTMy juga akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang teguh antara kedua-dua negara, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kerjasama akademik.

Selain itu, katanya, kehadiran universiti itu juga akan menyumbang kepada mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang lebih dinamik dan rancak di negara ini.

“Ini kerana dalam dunia saling berkaitan hari ini, kepentingan kerjasama silang budaya dan perkongsian pengetahuan tidak boleh dipertikaikan. 

“Sempadan geografi tidak boleh menghalang usaha kolektif kita untuk mendapatkan pengetahuan baharu dan idea inovatif.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita mendedahkan pelajar dan komuniti akademik kita kepada pelbagai budaya dan menggalakkan pertukaran idea secara aktif dalam kalangan individu daripada pelbagai latar belakang dan bangsa,” katanya.

Sementara itu, Kyosuke berkata, pihaknya sudah menubuhkan pejabat sebagai persediaan kampus cawangan sejak 2019 dan sudah menjalankan persiapan selama lima tahun.

Dalam tempoh itu, katanya, pihaknya memberi perhatian untuk membina hubungan rapat dan memupuk kepercayaan dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Malaysia dan Jepun, institusi berkaitan, universiti rakan kongsi, syarikat serta organisasi.

“Saya percaya kami mendapat kepercayaan dan penghormatan pihak berkepentingan di Malaysia dan kami berjaya membuka UTMy sebagai kampus luar negara pertama universiti Jepun, hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memulakan Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisipliner yang menawarkan Sarjan Muda Sastera dan Sains.

Katanya, matlamat utama penubuhan pusat pengajian itu untuk membangunkan individu yang mempunyai literasi sains data yang boleh menggunakan idea serta teknologi daripada sains semula jadi, kemanusiaan dan sains sosial kepada pelbagai isu global.

“Dengan menggunakan pemikiran reka bentuk, pelajar kami boleh menyumbang secara kreatif untuk menyelesaikan isu global.

“Ini kerana, sukar untuk kita menyelesaikan banyak isu global hanya dengan disiplin akademik klasik, sebaliknya ia memerlukan cara transdisiplin,” katanya.

Justeru, beliau percaya, pelajar yang akan menamatkan program itu nanti mampu memberi sumbangan besar kepada masyarakat di Malaysia, Jepun dan seluruh dunia.