Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANDAR SERI BEGAWAN: Keakraban secara peribadi yang ditunjukkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, cukup bermakna dan akan dijaga sebaik mungkin bagi memupuk hubungan lebih erat antara Malaysia dengan Brunei, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah kerana keakraban itu, Anwar tersentuh apabila baginda berkenan berangkat ke Kuala Lumpur tanpa undangan rasmi hanya beberapa hari selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022, untuk memberikan sokongan.

“Keakraban hubungan peribadi kedua-dua pemimpin negara Malaysia dan Brunei ini penting untuk dimanfaatkan dalam meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berjiran.

“Ini perkembangan yang bagi saya sangat peribadi dan sangat bermakna. Ini juga menunjukkan kesediaan Brunei untuk membuka lembaran baharu yang memberi suatu fokus meningkatkan persahabatan dua hala,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri yang menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia-Brunei, di sini, telah menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman, di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah berangkat ke Kuala Lumpur pada 28 November 2022 setelah Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 pada 24 November 2022.

Anwar berkata, kerjasama erat sedang ditingkatkan antara Malaysia dengan Brunei juga akan memberi manfaat besar kepada Sabah dan Sarawak yang berjiran dengan negara itu.

Berhubung bidang pertanian pula, beliau berkata, Brunei menunjukkan minat mendalam untuk bekerjasama dalam beberapa perancangan pertanian baharu di Sabah serta Sarawak, dan Kerajaan Persekutuan memberi galakan sepenuhnya terhadap perkara itu.

Perdana Menteri berkata, turut dipersetujui ialah kerjasama dalam bidang pelancongan, terutama untuk Brunei, Sabah dan Sarawak, selain kerjasama dalam sektor pengangkutan yang boleh menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan itu.

“Ini membabitkan penerbangan antara Brunei, Sabah dan Sarawak, selain Semenanjung, yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berlepas pulang ke Kuala Lumpur, petang ini, mengakhiri lawatan kerja selama dua hari ke Brunei. – BERNAMA