KUCHING: Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, disebabkan faktor geografi dan struktur tanah kawasan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, struktur tanah berbatu kapur yang terdapat di kawasan itu mempengaruhi pergerakan air bawah tanah, selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil yang akhirnya mengakibatkan tanah jerlus.
“Kadang-kadang kita tidak boleh menyangka bila dan di mana tanah jerlus ini akan berlaku.null
“Bukan saja di Malaysia, tetapi fenomena ini juga berlaku di seluruh dunia, terutama di kawasan yang mempunyai batu kapur dan keadaan geologi tertentu,” katanya seperti dilapor Bernama selepas majlis Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, dengan adanya teknologi yang canggih pada masa akan datang, beliau berharap kejadian itu dapat dikurangkan dan langkah pencegahan awal dapat diambil.
“Kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila tanah jelus akan berlaku, dengan pengetahuan dan teknologi yang betul, kita boleh mengambil langkah perlu untuk melindungi komuniti serta mengurangkan kesan daripada kejadian ini,” katanya.
Pada pagi Jumaat lalu, seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.
Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan dengan fokus pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam dengan bantuan enam anggota dari Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat. — BERNAMA