Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kelulusan permohonan perniagaan dipercepatkan bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelabur, namun mengingatkan proses itu dibuat tanpa berkompromi dengan undang-undang negara.

Perdana Menteri berkata, arahan itu bukan saja membabitkan pelaksanaan di peringkat Kerajaan Persekutuan, tetapi juga di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). nullnull

Beliau menegaskan demikian sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-45 untuk berbincang hal penting antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.

“Meski negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, saya tekankan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memperkasa agenda bagi memudahcara perniagaan. 

“Justeru, semua pihak membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan harus meningkatkan kepantasan memberi kelulusan tanpa berkompromi dengan peraturan yang berkuat kuasa.

“Ia bagi menjadikan Malaysia tumpuan pelabur dalam rantau ini, ” kata Perdana Menteru dalam hantaran di Facebook selepas mesyuarat berkenaan, hari ini. 

Antara intipati lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, kata Anwar, berkait mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Beliau berkata, ia penting dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.

“Insya-Allah, sinergi di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik, ” katanya. 

Oktober lalu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) ketika itu mengumumkan kerajaan negeri dibenar membuat penerokaan awal REE berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.

Ia susulan ucapan Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang membenarkan kerajaan negeri melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP NR-REE (REE tanpa radioaktif) dan dasar mineral sedia ada.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM), yang akan turut melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral, contohnya bagi tujuan pengekstrakan REE.-BH Online