Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos lalu yang menggariskan keperluan segera untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata di Palestin serta membawa bantuan kepada penduduk Gaza.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, berkata Malaysia secara prinsipnya sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.null

Dalam konteks ini, katanya, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang diusahakan oleh AS, Mesir dan Qatar, sekali gus berharap perbincangan pada 15 Ogos ini akan membuahkan hasil positif, menghalang konflik yang semakin meruncing, serta mencapai penyelesaian secara aman.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan.

“Malaysia sekali lagi menuntut pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza, serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin, adalah tidak berbelah bahagi, termasuk berhubung hak mereka untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Media sebelum ini melaporkan pemimpin AS, Mesir serta Qatar menggesa Israel dan Hamas untuk bertemu dalam satu rundingan pada 15 Ogos ini bagi memuktamadkan gencatan senjata Gaza serta perjanjian pembebasan tebusan.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga negara itu yang berusaha menjadi pengantara perjanjian, dipetik berkata rundingan berkenaan boleh diadakan di Doha atau Kaherah dalam masa terdekat sebelum keadaan bertambah tegang.-BH Online