Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kementerian Kewangan menggesa semua syarikat berpendapatan atau mencapai jualan tahunan melebihi RM100 juta tidak menunggu saat akhir, sebaliknya segera melaksanakan sistem e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh ditetapkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata setakat ini kerajaan hanya memberikan kelonggaran dan tiada penalti kepada pembayar cukai selama enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois dalam transaksi perniagaan mereka bermula 1 Ogos lalu.

“Terdapat kira-kira 5,000 syarikat mempunyai nilai jualan tahunan melebihi 100 juta dan lebih 3,500 sudah menggunakan sistem ini.

“Setakat ini kita menerima 3.5 juta e-invois dihantar syarikat terbabit melalui portal MyInvois. Ini menunjukkan tahap pematuhan dan kerjasama sangat baik dari pihak industri,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah MADANI di Banda Hilir, hari ini.

Hui Ying berkata, tempoh enam bulan diberikan itu mencukupi untuk syarikat mencuba sistem e-Invois, sekali gus membolehkan pihak pengendali meneliti dan menambah baik sebarang masalah yang timbul.

Tegas beliau, sistem berkenaan kini berfungsi dengan baik dan sentiasa dipantau rapi LHDN bagi menangani sebarang aduan daripada pembayar cukai.

E-Invois adalah transaksi digital antara penjual dan pembeli bertujuan meningkatkan kecekapan dan ketelusan pembayaran cukai serta wajib dilaksanakan seperti diumum dalam Bajet 2024

Ia dimulakan dengan pembayar cukai yang mencapai jualan tahunan melebihi RM100 juta pada 1 Ogos lalu, diikuti syarikat berpendapatan RM100 juta dan ke bawah (1 Januari 2025) dan semua pembayar cukai (1 Julai 2025).

Bagi memastikan peralihan lancar, peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan bawah RM150,000 dikecualikan daripada skim berkenaan buat sementara waktu.-BH Online