Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membawa isu Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) meluluskan penetapan cuti bersalin dipendekkan daripada 90 kepada 60 hari bagi pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, ke mesyuarat Kabinet, esok.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata beliau akan mengetengahkan perkara itu pada mesyuarat berkenaan bagi memastikan ia diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.null

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengumpulkan semua butiran dan maklumat yang diperlukan untuk pembentangan kepada Kabinet nanti.

“Pihak yang terbabit dalam tindakan mengurangkan tempoh cuti itu disarankan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK), di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin, berkata keputusan meluluskan penetapan cuti bersalin selama 60 hari saja berikutan kekurangan pegawai perubatan di PKD Hulu Langat, telah dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah itu.

Dr Ummi Kalthom dipetik berkata, keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan cuti bersalin serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai lalu, selain beberapa pegawai perubatan yang diarahkan melapor diri ke PKD Hulu Langat telah menolak penempatan diberikan.

Beliau berkata, sekiranya langkah mengehadkan tempoh cuti bersalin seperti yang dilaporkan itu tidak diambil, ia akan menambah beban kerja dan tekanan tambahan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat demi memenuhi keperluan kesihatan orang ramai.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, semalam bagaimanapun dilapor menyifatkan penetapan cuti bersalin hanya 60 hari atas alasan kekurangan pegawai perubatan itu sebagai amat mengecewakan.

Adnan dipetik berkata, JKNS sepatutnya membuat penyusunan petugas dan bukan menafikan kebajikan yang sepatutnya dinikmati penjawat awam.-BH Online