KUALA LUMPUR: Kursus Dakwah Harmoni dikendalikan Global Unity Network Unity (UNITY) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang didakwa mengancam akidah adalah tohmahan tidak bersandarkan fakta sebenar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya amat kesal dengan tohmahan dibuat seorang ahli politik.
Katanya, jelas sekali tindakan itu hanya bertujuan memburukkan imej dan komitmen kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam dan pembangunan ummah di negara ini.
“Program berkala ini adalah sebahagian daripada siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah.
“Program itu bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru-guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman sebenar mengenai ilmu berkaitan agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Na’im berkata, pihaknya dimaklumkan sepanjang Lawatan Harmoni Terbimbing, tiada pembabitan dalam amalan upacara keagamaan kerana ia bukan program terbuka kepada umum tetapi untuk peserta terlatih dalam bidang dakwah dan perbandingan agama.
Katanya, lawatan itu juga memberi ruang dan peluang kepada guru agama dakwah berdialog dan menyampaikan mesej agama Islam yang sebenar serta sejagat demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian tamadun insan.
Beliau menjelaskan penganjuran kursus menerusi pendekatan dialog antara tamadun juga bukanlah inisiatif baharu tetapi dilaksanakan dengan jayanya sejak lima tahun lalu.
“Sesungguhnya negara kita memerlukan lebih ramai guru agama dakwah yang berilmu dan berkepakaran tinggi dalam bidang ilmu agama dan perbandingannya demi memelihara jati diri aqidah dan sahsiah terutama dalam kalangan generasi muda dan masyarakat Islam,” katanya.
Sebelum ini, tular klip video berdurasi 6.35 minit yang memaparkan kunjungan delegasi dari JAIPk ke Kuil Sri Maha Mariamman Kampung Kasipillay di sini.
JAIPk dalam kenyataan hari ini menjelaskan program lawatan membabitkan 32 peserta terpilih dari seluruh negeri Perak itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam.-BH Online